LIMBANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang sedang menilai kerosakan susulan ribut dan angin kencang di bandar ini, Rabu lalu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, langkah itu penting untuk menilai tindakan dan bantuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jawatankuasa Bencana Malaysia (NADMA).
“Kita sedang mengumpul data-data serta maklumat untuk disampaikan ke peringkat atasan bagi memudahkan bantuan disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Majlis Tilawah Al-quran Peringkat Bahagian Limbang Tahun 1448H/2026M di Dewan Suarah Limbang, di sini, malam tadi.
Dr Abdul Rahman berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu menjejaskan 10 kampung di kawasan bandar sehingga menyebabkan banyak rumah, dewan, sekolah rosak termasuk bumbung di Dewan Suarah dan JPBD Limbang.
Dr Abdul Rahman juga mahu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta membantu membaik pulih kerosakan pemilik rumah yang terjejas sebelum bantuan diberikan JPBN Sarawak.
Terdahulu, Dr Abdul Rahman bersama Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang yang juga Pengerusi JPBD Limbang Sulaiman Engal mengadakan lawatan ke Dewan Bunga Raya bagi meninjau kerosakan akibat ribut, hari ini.
