Persiapan awal bantu lancarkan jentera parti hadapi pilihan raya

KUCHING: Semangat dan kesiapsiagaan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ahli dan jentera parti perlu membuat persiapan awal tanpa menunggu pilihan raya.

“Pengalaman pilihan raya lalu membuktikan persiapan awal membantu jentera menghadapi cabaran dengan lebih tersusun dan lancar.

“Tempoh tiga hingga lima bulan perlu dimanfaatkan untuk memperkemaskan strategi, memperbaiki kelemahan dan memastikan jentera benar-benar bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan penutupan Seminar Kepimpinan Cawangan N.4 Pantai Damai di Waterfront Hotel, di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan membimbing ahli baharu, khususnya dalam kalangan wanita, pemuda dan belia.

Selain itu, jelasnya, jentera ranting perlu diperkasakan melalui pertemuan serta perkongsian maklumat berterusan.

“Semua komponen perlu bergerak sebagai satu pasukan, saling membantu dan menggabungkan kepakaran.

“Ini bagi memperkukuhkan organisasi serta memastikan hubungan dengan masyarakat di akar umbi terus erat,” ujarnya.

Jentera parti katanya, harus turun padang menyampaikan maklumat tepat mengenai pembangunan dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Seramai 120 peserta dari Jawatankuasa Induk, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Belia menghadiri seminar.

Hadir sama, Naib Ketua Cawangan Parti PBB N4 Pantai Damai, Mohd Hasfa Salleh, Setiausaha Cawangan Parti PBB N4 Pantai Damai, Kaunselor Sebeki Jen, Ketua Pemuda Cawangan Parti PBB N4 Pantai Damai, Abdul Adzim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Cawangan PBB N4 Pantai Damai, Rosmah Zaini.