Warisan, budaya masyarakat Sarawak sumber kekayaan kreatif

KUCHING: Budaya, warisan, biodiversiti, kaum dan corak hidup rakyat Sarawak yang unik di dunia boleh dijadikan asas kekayaan kandungan kreatif, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, cerita mengenai budaya, warisan, biodiversiti dan corak hidup rakyat Sarawak itu boleh diolah dalam bentuk animasi, permainan, filem, pengalaman digital dan harta intelek global.

“Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026. (BAGFest) 2026 yang diadakan di sini merupakan platform menghimpun bakat, teknologi, pelaburan dan masyarakat dalam satu industri,” katanya sempena BAGFest 2026 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Lebih penting lagi, katanya, ia menyokong visi Sarawak untuk menjadi hab industri kreatif digital yang baharu bukan hanya untuk Malaysia tetapi di wilayah lain.

Satu lagi elemen festival yang paling bermakna ialah tayangan filem animasi yang menjadi nostalgia ramai rakyat Sarawak seperti wayang pacak.

Beliau berkata, ini adalah satu contoh yang baik untuk menyatukan masyarakat, kandungan kreatif, teknologi dan kelestarian pengalaman.