Wanita Parti PBB terus dekati rakyat tanpa tunggu pilihan raya

SIBU: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) disaran meneruskan program kemasyarakatan secara konsisten, termasuk ziarah dan membantu golongan memerlukan, tanpa menunggu musim pilihan raya.

Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, program seumpama itu walaupun dilaksanakan secara kecil-kecilan, namun mampu memberi impak dalam mendekatkan parti dengan masyarakat.

“Program memberi kesan kepada masyarakat kerana menunjukkan kehadiran dan keprihatinan pergerakan wanita parti terhadap masyarakat sekeliling.

“Saya berharap program seperti ini diteruskan, sekurang-kurangnya sebulan sekali, tanpa mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pergerakan Wanita Parti PBB Zon Tengah di Dewan LAKIS Sibu, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memberitahu, program yang menghimpunkan wanita juga penting sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang, terutama dalam memastikan mesej parti dapat disampaikan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Dr Annuar turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan serta seluruh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Wanita Parti PBB atas sokongan yang diberikan kepadanya, termasuk dalam pemilihan parti dan konvensyen khas parti yang berlangsung di Sibu baru-baru ini.

Beliau berkata, sokongan daripada pergerakan wanita bukan sahaja diterima di Sibu dan Zon Tengah, malah dari seluruh Sarawak.

“Dengan kepercayaan yang diberikan sebagai Naib Yang di-Pertua Kanan parti, saya berusaha bersama pucuk pimpinan memastikan Parti PBB terus kukuh dan menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju menjelang 2030,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita I, Datin Sri Dato Angelina Ujang dan Timbalan Ketua II Wanita merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.