LIMBANG: Kemajuan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara beretika supaya nilai moral, akhlak dan adab terus terpelihara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, teknologi digital kini mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan termasuk cara masyarakat bekerja, belajar dan berkomunikasi.
“Kemajuan tidak boleh menyebabkan manusia menjadi semakin jauh antara satu sama lain.
“Teknologi tidak boleh menyebabkan kita kehilangan adab dan akhlak,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Penangguhan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Limbang 1448H/2026M di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.
“Umat Islam perlu memahami perbezaan antara maju dan makmur.
“Masyarakat mungkin maju dari sudut teknologi, tetapi belum tentu makmur dari sudut kehidupan,” tambahnya.
Pada pertandingan itu, enam qari dan enam qariah dari Limbang serta Lawas mengambil bahagian, dengan Mohammad Wardi Nordin dan Ezza Nurumaiza Japarudin dari Lawas masing-masing muncul Johan Qari dan Qariah serta menerima RM4,000, plak dan sijil.
