SIBU: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus meningkatkan mutu gerak kerja sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
Pada masa sama, pergerakan itu mesti memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan kekuatan parti di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua II Pergerakan Wanita Parti PBB, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, jentera wanita tidak seharusnya bergantung kepada kaedah yang digunakan pada pilihan raya terdahulu, sebaliknya perlu memperbaiki pendekatan serta melaksanakan tugas secara profesional dan komitmen.
“Kita perlu buat kerja dengan lebih baik pada setiap pilihan raya. Kita perlu meningkatkan cara kita bekerja, melaksanakannya dengan betul, profesional dan penuh komitmen agar pergerakan wanita terus mantap dan dihormati.
“Sudah tiba masanya kita menunjukkan bahawa wanita bukan lemah. Kita adalah satu barisan yang bersatu, mampu melaksanakan tugas dan bersedia menghadapi pilihan raya dengan penuh keyakinan serta bekerja keras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Bersama Wanita PBB Zon Tengah di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah yang juga Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan berkata, kekuatan parti di peringkat akar umbi turut diperkukuhkan menerusi ilmu pengetahuan berkaitan dasar dan pencapaian Kerajaan Sarawak.
Katanya, program SKE antara lain bertujuan memperkukuhkan jentera wanita parti melalui penyampaian maklumat, ilmu dan pengetahuan supaya ahli parti dapat menerangkan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
“Wanita juga perlu tahu apa yang dibawa kerajaan pimpinan GPS dan ditunjangi Parti PBB.
“Kita bukan sahaja turun padang, tetapi perlu mempunyai ilmu supaya apabila masyarakat bertanya, kita dapat menjelaskan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan pergerakan wanita supaya mengutamakan perpaduan parti dan mengelakkan perpecahan yang boleh menjejaskan kekuatan jentera.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua pergerakan wanita daripada 24 cawangan Zon Tengah yang hadir serta penceramah yang berkongsi ilmu sepanjang program berkenaan.
Turut hadir Timbalan Ketua Wanita 1 Pergerakan Wanita Parti PBB merangkap Ketua Wanita Cawangan N.63 Bukit Goram, Dato Angelina Ujang, Setiausaha Pergerakan Wanita merangkap Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding, Bendahari Pergerakan Wanita merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, serta pengerusi penganjur SKE 3.0 Bersama Wanita Parti PBB Zon Tengah, Datin Sri Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz.
