Sarawak rekod 259 titik panas, isu jerebu rentas sempadan akan dibawa ke peringkat ASEAN

KUCHING: Sarawak merekodkan 245 hingga 259 titik panas setakat Ogos berbanding 7,585 di seluruh Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan titik panas berkurangan itu, keadaan jerebu di Sarawak diramal berkurangan.

“Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) diarahkan berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membawa isu jerebu rentas sempadan ke peringkat Jawatankuasa Jerebu Rentas Sempadan ASEAN,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026. (BAGFest) 2026 di sini hari ini.

Uggah sehubungan itu, turut mengingatkan orang ramai supaya merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sumber rasmi NREB, JAS dan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), selain mengambil langkah berjaga-jaga ketika jerebu.

“Kerajaan negeri tidak pernah merendahkan bacaan IPU dan sekolah ditutup sebaik bacaan mencapai paras 200. Kita tidak pernah mengambil mudah soal keselamatan rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata, aduan berkaitan gangguan bekalan air perlu mendapat tindakan dalam tempoh 12 jam dengan Pegawai Residen dan Pegawai Daerah bertanggungjawab menyelaras bantuan.

Kerajaan negeri turut bersedia melaksanakan pembenihan awan sekiranya keadaan awan sesuai, selain mengambil langkah kesiapsiagaan di Kuala Baram melalui 12 telaga tiub, pemantauan dron serta kerjasama pasukan kecemasan bagi mengesan dan memadam kebakaran lebih awal, katanya.