Kerjasama UiTM Sarawak fokus teknologi hijau, peralihan tenaga

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam menghasilkan penyelesaian teknologi hijau yang boleh dilaksanakan di lapangan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, kepakaran akademik dan teknikal UiTM penting dalam menyokong agenda kelestarian serta peralihan tenaga Sarawak.

“Kita memerlukan kepakaran akademik anda untuk membantu kerajaan mereka bentuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Ketujuh mengenai Kelestarian Global dan Kejuruteraan Kimia (ICGSCE) 2026 & Sidang Kemuncak Antarabangsa Petroleum dan Tenaga Pertama (IPET) 2026, di sini, hari ini.

Dr Hazland berkata, ICGSCE 2026 dan IPET 2026 menjadi platform menghimpunkan saintis, penyelidik, profesional industri serta penggubal dasar dalam bidang kejuruteraan kimia, inovasi hijau dan pembangunan lestari.

Menurutnya, edisi ketujuh ICGSCE turut mencatat sejarah sebagai edisi pertama yang diadakan di luar Lembah Klang, manakala IPET 2026 merupakan penganjuran sulung sidang kemuncak berkenaan di Sarawak.

Sarawak menyasarkan untuk menjadi kuasa hijau serantau dan mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050 menerusi Blueprint Kelestarian Sarawak, termasuk peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, pengurusan karbon dan tadbir urus alam sekitar.

“Tonggak utama persidangan ini termasuk bahan api bio termaju, teknologi hidrogen, kejuruteraan kimia hijau dan sistem tenaga pintar merupakan asas teknologi yang diperlukan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty),” tambahnya.

Dr Hazland berkata, teknologi berkenaan boleh menyokong pelaksanaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, infrastruktur solar terapung berskala besar dan pembangunan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).

Selain itu, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pemulihan hutan berskala besar dan pembangunan rangka kerja perdagangan karbon sebagai sebahagian daripada strategi mitigasi karbon negeri.

Katanya, gabungan visi Kerajaan Sarawak dan kepakaran UiTM mampu membuka lebih banyak ruang penggunaan teknologi hijau bagi membentuk masa depan yang lestari.