KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan cadangan untuk membina dan mengendalikan pusat pemulihan dadah yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini berikutan peningkatan kes penyalahgunaan bahan terlarang tersebut dari 1 Januari hingga 23 Ogos 2026.
Sebanyak 9,583 kes berkaitan penyalahgunaan dadah direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.
“Jumlah tersebut merangkumi 478 kes pengedaran, 1,934 kes memiliki dadah.
“Manakala 7,171 kes membabitkan pengguna dadah,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Jelasnya, langkah tersebut diambil menampung Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Puncak Borneo yang kini mencapai kapasiti maksimum sekitar 300 pelatih.
“Ini juga bagi mengelakkan isu sensitiviti agama yang sering timbul di pusat pemulihan swasta.
“Selain fasiliti kendalian negeri, pembinaan cawangan baharu di Miri dan Sibu turut dirancang,” katanya.
Sementara itu, kemunculan Bahan Psikoaktif Baharu (NPS) seperti cecair vape magic mushroom, k-pot, serta cannabinoid sintetik juga semakin membimbangkan di negeri ini.
Katanya, Pusat Racun Negara merekodkan 76 kes keracunan berkaitan vape di seluruh negara antara 2020 hingga 2024, dengan 81 peratus melibatkan bahan terlarang.
Dalam pada itu, bagi menangani isu penyalahgunaan ketum yang mencatatkan 99 kes tangkapan di Sarawak, beliau berkata, pihak berkuasa menyarankan agar keupayaan analisis makmal, khususnya bagi kandungan mitragynine, terus diperkukuhkan.
“Kawalan perkhidmatan kurier serta pemantauan jualan dalam talian juga harus diperketatkan,” ujarnya.
