SARATOK: Sebanyak 520 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 429 penerima di kawasan Krian, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penyerahan itu membabitkan penerima dari kawasan Entebu dan Selambong, Kabo, Budu, Krian serta Kampung Sepuk.
“Daripada 2010 hingga 31 Julai 2026, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak melaksanakan pengukuran perimeter seluas kira-kira 1.24 juta hektar di seluruh Sarawak, dengan 967,842 hektar daripadanya telah diwartakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kawasan Krian, di sini, hari ini.
Beliau mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, bagi pengukuran lot individu sebanyak 111,885 lot melibatkan kawasan seluas 134,079 hektar telah diukur setakat 31 Julai 2026.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 39,670 lot telah dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18, melibatkan kawasan seluas 54,960 hektar,” tambahnya.
Menurutnya, pengukuran NCR dilaksanakan selepas permohonan dibuat penuntut tanah dan tertakluk kepada semakan undang-undang serta bukti pemilikan yang sah.
Beliau sehubungan itu mengingatkan pemilik tanah supaya bekerjasama dalam proses pengukuran termasuk mengenal pasti sempadan dan memastikan tanah tidak terlibat dalam pertikaian.
Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 memberi kepastian pemilikan kepada penerima selain tidak dikenakan cukai tanah dan bayaran premium serta mempunyai tempoh pegangan kekal.
