Para SUKMA: Atlet perlu manfaatkan tempoh akhir latihan – Fatimah

KUCHING: Semua persiapan atlet Para SUKMA Sarawak akan diselesaikan sepenuhnya sebelum kontinjen berangkat ke Selangor bagi menyertai temasya dijadual berlangsung mulai 5 hingga 10 September ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, persiapan setiap pasukan akan terus dipantau bagi mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang perkara yang masih belum diuruskan.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk urusan melibatkan atlet bawah umur, keperluan imigresen serta persiapan lain sebelum kontinjen berangkat ke lokasi pertandingan.

“Dalam kata lain, sebelum berangkat nanti, persiapan sudah disiapkan,” katanya semasa melakukan lawatan ke tempat latihan intensif sukan boling padang, di sini hari ini.

Jelas Fatimah lagi, latihan intensif atlet kini berbaki dua hari dan beliau dimaklumkan bahawa barisan atlet boling padang Sarawak berada dalam keadaan bersedia serta mempunyai semangat tinggi.

Katanya, atlet juga perlu memanfaatkan tempoh latihan terakhir bagi menyesuaikan diri dengan keadaan yang mungkin berbeza daripada venue pertandingan sebenar.

Katanya, setiap atlet perlu mempunyai sasaran masing-masing serta menyematkan keinginan untuk memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama Sarawak.