SIBU: Dasar baharu bagi mempercepatkan usaha membaik pulih sekolah daif dan klinik negeri ini dengan menggunakan dana Kerajaan Sarawak, jelas terbukti mampu mengurangkan kos pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini jelas terbukti dengan pembinaan tujuh sekolah oleh Kerajaan Sarawak termasuk sekolah di Daro, Ulu Sengan dan Meludam.
Katanya, ini disebabkan reka bentuk yang diguna pakai oleh Sarawak adalah lebih sesuai, praktikal, berfungsi dan tidak ‘over design’.
“Dahulu ada sesetengah sekolah memerlukan sehingga RM60 juta (sekolah rendah), tetapi Kerajaan Sarawak yang buat tidak sampai mencecah RM40 juta, jadi ini perbezaan yang nampak jelas.
“Sebenarnya sekolah ini tidak perlu banyak fasa, ukiran, asalnya berfungsi sebagai sebuah sekolah, tahan lama dan tidak memerlukan penyelanggaran yang banyak. Jadi itu yang paling penting,” katanya ketika diminta mengulas tentang polisi baharu Kerajaan Sarawak membaik pulih dahulu sekolah-sekolah daif dan klinik di negeri ini.
Dr Annuar yang juga ADUN Nangka berkata, kerajaan Negeri meluluskan bagi mendapatkan tanah baharu seterusnya memberi kontrak kepada kontraktor di negeri Sarawak dan prosesnya tidak begitu banyak birokrasi.
“Yang penting kosnya jauh lebih murah daripada apa yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Sebab itu Kerajaan Persekutuan bersetuju mengguna pakai kaedah ini sebab menjimatkan kos, kedua mempercepatkan proses pembinaan,” ujarnya.
