KUCHING: Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya pada 17 April 2024.
“Perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat itu juga dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Katanya ke arah itu satu deraf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.
