Sarawak tunggu Kementerian Luar Negeri bawa pelajar keluar dari Timur Tengah

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini sedang menunggu Kementerian Luar Negeri mengeluarkan nasihat bagi membawa keluar rakyat Sarawak yang berada di negara Timur Tengah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelajar Sarawak akan dibawa keluar jika Kementerian Luar dan Kementerian Pengajian Tinggi menasihat untuk membawa keluar pelajar khususnya yang berada di Timur Tengah.

“Kita akan mengikut arahan dan membawa mereka keluar jika disuruh berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, ketika ini pihaknya masih berhubung dan menunggu nasihat Kementerian Luar Negeri berhubung keadaan di negara Timur Tengah.

“Kita ramai (pelajar) di Jordan dan Mesir. Mereka yang menuntut di Mesir ramai mengambil jurusan perubatan dan agama,” katanya.

Sementara itu, mengenai negara Singapura yang bakal mempunyai Perdana Menteri baharu, Lawrence Wong pada 15 Mei depan, Abang Johari menjelaskan pihaknya, bekerjasama erat dengan Singapura.