Skim Penempatan Semula dibangun di Tanjung Manis

TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Skim Penempatan Semula (SPS) di Tanjung Manis untuk individu dari luar yang mahu menetap dan bermastautin di sini.

Bagi tujuan itu, sebanyak RM20 juta diperuntukkan melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, projek tersebut memerlukan masa untuk dilaksanakan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Riang Ria Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tanjung Manis, semalam.

Sementara itu, Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, sejumlah RM15 juta turut diperuntukkan bagi membina Kompleks Sukan Tanjung Manis melalui Majlis Daerah Matu Daro (MDMD).