Jambatan Piasau mercu tanda baharu Miri

MIRI: Bandaraya ini bakal mempunyai mercu tanda ikonik baharu selepas kerajaan meluluskan pembinaan Jambatan Piasau yang mengambil inspirasi Jambatan San Francisco-Oakland Bay dan Jambatan Golden Gate di Amerika Syarikat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Joharu Tun Openg berkata, jambatan kabel tersebut akan menghubungkan Piasau berhampiran Hutan Simpan Piasau ke Marina Miri.

Apabila siap, jambatan tersebut akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Miri, katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri malam tadi.

Menurutnya, Miri bersedia berubah menjadi sebuah bandar peranginan yang pesat membangun selain memiliki tapak warisan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kalau Kuching ada Jambatan Darul Hana, jambatan ikonik di Miri. Nama bagi jambatan ini belum tahu, tapi kita akan bina jambatan itu dahulu,” ujar beliau.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada empat syarikat korporat di bahagian Miri kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Sementara itu, Abang Johari turut menghadiri Rumah Terbuka sekitar Miri.