SPR saran semakan KSP Sarawak secara dalam talian

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyarankan orang awam membuat semakan maklumat dan syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak Kali Ketujuh secara dalam talian susulan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kaedah berkenaan dapat memudahkan orang awam mendapatkan maklumat berkaitan KSP tanpa perlu hadir ke lokasi pameran secara fizikal, terutama di kawasan yang terjejas akibat jerebu.

“Orang awam boleh membuat semakan maklumat dan syor KSP Sarawak menerusi laman sesawang rasmi di https://myst.spr.gov.my, manakala sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui Hotline KSP Sarawak di talian 082-549420 atau e-mel ksp@spr.gov.my,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, SPR memahami keadaan jerebu yang mencapai tahap membahayakan kesihatan dan keselamatan orang awam berpotensi menyukarkan mereka untuk hadir ke lokasi pameran fizikal, khususnya di kawasan yang diisytiharkan darurat.

Beliau berkata, tempoh pameran syor KSP Sarawak berlangsung dari 1 hingga 30 September ini.

Manakala, pihak yang layak turut boleh mengemukakan representasi melalui saluran dalam talian sekiranya tidak dapat hadir secara fizikal.

Dalam pada itu, Khairul berkata, SPR sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan orang awam serta akan terus memantau perkembangan situasi semasa.

“SPR akan terus mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan urusan KSP Sarawak Kali Ke-7 dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya.