Jerebu: Sektor pelancongan berdepan tekanan

KUCHING: Sektor pelancongan Sarawak berdepan tekanan susulan keadaan jerebu dengan penurunan jumlah ketibaan pelancong mula dirasai sejak kebelakangan ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keadaan kualiti udara yang tidak baik berkemungkinan menyebabkan pelancong menangguhkan atau mengubah perancangan perjalanan mereka ke Sarawak.

“Kalau saya seorang pelancong dan merancang untuk datang ke Sarawak atau Kuching ketika ini, saya akan mengubah rancangan perjalanan. Jadi, kita memang melihat sedikit penurunan jumlah ketibaan pelancong kebelakangan ini,” katanya pada sidang media mesyuarat persiapan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, kesan jerebu itu dijangka berlarutan sehingga keadaan pencemaran udara kembali reda, selain beberapa acara yang dijadual berlangsung turut berdepan kemungkinan terjejas.

Beliau berkata, antara acara terbabit ialah Festival Muzik Borderland di Kuching dan Karnival Jom Heboh di Miri, manakala penganjur acara luar perlu mengambil kira pandangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebelum membuat keputusan.

“Jangan teruskan sahaja kerana kesihatan rakyat juga amat penting dalam apa-apa acara yang diadakan di luar. Sekiranya IPU agak tinggi, fikir dahulu sama ada untuk menangguhkan tarikh atau membatalkan terus,” katanya.

Abdul Karim berkata, program yang berlangsung di dalam bangunan masih boleh diteruskan bergantung keadaan semasa, namun aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai perlu menjadi pertimbangan utama.