KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian turun kepada 334 setakat jam 10 pagi tadi, namun pemantauan keadaan jerebu masih diteruskan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penurunan bacaan IPU itu belum menunjukkan keadaan kembali selamat sepenuhnya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) terus memantau keadaan, khususnya membabitkan kawasan yang merekodkan bacaan tinggi.
“Serian diisytiharkan darurat apabila bacaan IPU mencecah 500.
“Hari ini, pada jam 10 pagi, bacaannya telah turun kepada 334, tetapi itu tidak bermakna keadaan sudah selamat dan kita masih perlu memantau situasi,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Muhibah Warga Emas, di sini, hari ini.
Menurutnya, pengisytiharan darurat akibat jerebu tidak bermakna penduduk dilarang keluar rumah seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.
Sebaliknya, penduduk yang perlu keluar dinasihatkan memakai pelitup muka dan mengurangkan pendedahan kepada jerebu, terutama warga emas serta kumpulan yang sensitif.
Fatimah turut mengingatkan warga emas supaya memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengekalkan hidrasi ketika keadaan jerebu.
“Walaupun bacaan IPU di Serian menurun, ia tidak bermakna status darurat boleh terus ditamatkan.
“Kita perlu melihat keadaan angin dan titik panas yang masih ada di beberapa kawasan,” tambahnya.
Katanya, Majlis Makan Tengah Hari Muhibah Warga Emas hari ini masih boleh dilaksanakan kerana berlangsung di dalam bangunan dan tidak mendedahkan warga emas secara langsung kepada keadaan luar.
Seramai kira-kira 500 warga emas dari Kuching, Asajaya, Samarahan, Kota Sentosa, Serian dan Bau hadir bersama wakil NGO, rumah jagaan, pusat komuniti serta persatuan.
