SARIKEI: Seramai 1,014 peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) di Parlimen Tanjong Manis kini berjaya memiliki lesen motosikal selepas melengkapkan keseluruhan proses latihan serta menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pencapaian itu dilihat memberi nilai tambah kepada golongan berpendapatan rendah, terutama kumpulan B40, kerana pemilikan lesen sah dapat memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan selain memperluas peluang menjana pendapatan untuk menyara keluarga.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, berkata inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan lesen memandu.
Katanya, lesen motosikal bukan sekadar dokumen yang membolehkan seseorang menunggang secara sah.
Sebaliknya katanya, ia antara kemudahan penting untuk membolehkan penerima bergerak ke tempat kerja dan meneroka peluang pekerjaan, khususnya dalam bidang logistik serta sektor berkaitan.
“Saya berharap lesen ini digunakan untuk bekerja, mencari pendapatan dan membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga, bukannya melakukan perkara yang boleh mengancam keselamatan diri atau orang lain,” katanya ketika menyempurnakan majlis penangguhan program itu, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Yusuf mengingatkan peserta supaya tidak terpengaruh dengan budaya samseng jalanan dan perlumbaan haram yang semakin mudah tersebar menerusi platform media sosial, termasuk melakukan aksi berisiko seperti wheelie dan Superman.
Beliau berkata, pemilikan lesen datang bersama tanggungjawab untuk mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga keselamatan dan pengguna jalan raya lain serta menunjukkan sikap matang ketika menunggang.
Yusuf turut menghargai kerjasama JPJ Sarawak, JPJ Cawangan Sarikei, Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Pejabat Daerah Sarikei, Institut Memandu Sarikei Sdn Bhd serta semua pihak yang terbabit dalam memastikan pelaksanaan BLM berjalan lancar.
