KUCHING: Semangat muhibah menerusi aktiviti kemasyarakatan mampu merapatkan hubungan antara warga emas dan generasi muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut memberi ruang kepada warga emas daripada pelbagai latar belakang untuk berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Kita mahu golongan muda turut belajar menghormati warga emas dan memahami nilai khidmat kepada masyarakat.
“Penglibatan mereka dalam aktiviti seperti ini membentuk sikap prihatin dan semangat sukarelawan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Muhibah Warga Emas, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penglibatan golongan muda melalui Lions Club International turut memberi pendedahan kepada mereka mengenai kepentingan membantu masyarakat serta menghargai sumbangan generasi terdahulu.
Katanya, hubungan antara generasi perlu terus dipupuk melalui aktiviti bersama yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas, malah membentuk nilai positif dalam kalangan golongan muda.
“Pertemuan antara generasi muda dan warga emas memberi ruang untuk mereka berkongsi pengalaman, berkomunikasi serta saling memaham,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memuji penganjuran program berkenaan oleh Lions Club International yang menghimpunkan kira-kira 500 warga emas bersama pertubuhan bukan kerajaan, pusat penjagaan dan kumpulan masyarakat.
Fatimah berkata, konsep muhibah yang diketengahkan turut memperlihatkan kekuatan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk berkumpul dalam suasana harmoni.
Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak 40 kerusi roda kepada penerima sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada golongan memerlukan.
