794 lampu LED baharu terangi laluan Petra Jaya–Rambungan

KUCHING: Keselamatan pengguna jalan raya khususnya di laluan Petra Jaya–Rambungan bakal dipertingkatkan menerusi projek penyediaan dan pemulihan sistem lampu jalan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek bernilai RM5.8 juta sepanjang 11.9 kilometer (KM) itu melibatkan pemasangan sistem pencahayaan baharu serta pemulihan kemudahan sedia ada yang terjejas berikutan vandalisme dan kemerosotan infrastruktur.

“Pencahayaan yang lebih baik akan membantu meningkatkan penglihatan pengguna pada waktu malam, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan. Ia juga menjamin keselamatan pemandu, penunggang motosikal, pejalan kaki serta komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Penyediaan Lampu Jalan di Lebuh Pehin Sri Haji Adenan Satem, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris.

Laluan berkenaan menghubungkan kawasan DUN Pantai Damai dan DUN Tupong sekali gus memberi manfaat kepada penduduk serta pengguna jalan raya di kedua-dua kawasan.

“Projek ini bukan sahaja menyediakan pencahayaan yang lebih baik, malah memastikan bekalan elektrik kepada sistem lampu jalan lebih stabil dan boleh dipercayai,” tambahnya.

Projek itu dijadual siap pada 16 Jun 2027 merangkumi pemasangan 794 unit lampu jalan LED 120W, enam transformer 50kVA serta sistem kabel dan kawalan berkaitan.

Pelaksanaan projek oleh Arena Megasuria Sdn. Bhd. itu turut melibatkan Perunding Teknikal Consult Sdn. Bhd. sebagai perunding, manakala Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching bertindak sebagai Pegawai Penguasa.