BETONG: Pengguna jalan raya di sini diminta bersabar dan merancang perjalanan susulan penutupan Jambatan Sungai Layar selama dua minggu bagi membolehkan kerja pembaikan serta pengalihan paip air.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penutupan sementara itu bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan pengguna dan pekerja di lokasi.
“Keputusan dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti masalah keselamatan pada struktur jambatan.
“Kita berbincang dengan kontraktor dan konsultan supaya jambatan ini dapat disiapkan dengan secepat mungkin,” katanya selepas meninjau keadaan Jambatan Sungai Layar di sini, hari ini.
Beliau turut menerima taklimat daripada Jurutera JKR Bahagian Betong mengenai keadaan semasa jambatan, skop kerja pembaikan serta langkah keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.
Beliau turut meninjau kemajuan Projek Menaik Taraf Jalan Saka–Spaoh dan pembinaan Jambatan Sungai Layar baharu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan.
