KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, menyifatkan Program Majlis Hadis dan Isnād Al-Muwaṭṭa’ Imam Malik Peringkat Negeri Sarawak 2026 sebagai usaha penting bagi menghidupkan budaya menuntut ilmu dalam masyarakat.
Beliau berkata, program itu bukan sekadar majlis ilmu, malah menjadi wadah memastikan khazanah dan tradisi keilmuan Islam terus dipelajari serta diwariskan kepada generasi seterusnya.
Menurutnya, pemilihan kitab Al-Muwaṭṭa’ karya Imam Malik turut menekankan kepentingan sanad atau isnad bagi memastikan ilmu dipelajari daripada sumber sahih dan disampaikan dengan amanah.
“Ilmu yang benar perlu dipelajari, difahami dan diwariskan dengan amanah,” katanya dalam ucapan yang dirakam dan ditayangkan pada majlis penutupan program itu di Masjid Jamek malam ini.
Majlis penutupan disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Fadillah turut menghargai penyertaan anak tahfiz, mahasiswa, penjawat awam dan masyarakat umum dalam program selama lima hari itu.
Beliau menyifatkan kejayaan peserta menamatkan pengajian Al-Muwaṭṭa’ serta menerima Sijil Sanad sebagai pencapaian membanggakan.
Bagaimanapun, beliau berharap ilmu yang diperoleh tidak terhenti pada penerimaan sijil, sebaliknya diterjemahkan dalam kehidupan melalui akhlak, amanah, kesederhanaan, kasih sayang dan hubungan baik sesama manusia.
“Inilah nilai ilmu yang kita mahu bina dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu, khususnya Majlis Bukhari Malaysia, Majlis Islam Sarawak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak, JAKIM, Yayasan Angkatan Dakwah Islam Malaysia dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak.
Fadillah turut menghargai sokongan Kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, dalam memperkukuhkan pembangunan ilmu dan syiar Islam di negeri itu.
Penghargaan turut diberikan kepada Sheikh Al-Musnid Mohamad Abul Huda Al Yaquobi dan Fadhilatus Sheikh ‘Isam As Subu’ie yang memimpin majlis pembacaan serta sanad hadis sepanjang program.
Beliau berharap program itu diteruskan sebagai agenda tahunan pembangunan insan di Sarawak dan diperluas ke peringkat kebangsaan.
“Kita mahu membina masyarakat yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak kerana ilmu yang tidak diterjemahkan dalam kehidupan belum mencapai tujuan sebenar,” katanya.
