BINTULU: Penerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disaran mengamalkan konsep perkongsian kos di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata ini khususnya bagi menganjurkan program berskala besar menggunakan peruntukan itu.
“Melalui kerjasama komuniti dan perkongsian kos, kita bukan sahaja dapat memaksimumkan penggunaan dana yang ada, malah berupaya melaksanakan lebih banyak program pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan MRP berjumlah RM518,000 kepada 75 penerima di kawasan DUN Jepak, di sini, malam tadi.
Iskandar berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan penggunaan peruntukan secara berlebihan untuk satu program sahaja, sekali gus membolehkan lebihan dana disalurkan kepada aktiviti lain komuniti.
