Al-Muwatta’ Imam Malik wadah warisan ilmu Islam Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong usaha menjadikan pengajian Kitab Al-Muwatta’ Imam Malik sebagai sebahagian daripada tradisi keilmuan Islam di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tradisi isnad semakin penting dalam era maklumat yang tersebar pantas bagi membantu generasi muda menilai dan membezakan ilmu sahih daripada maklumat yang tidak berasas.

“Program ini menghidupkan kembali tradisi isnad, talaqqi dan musyafahah dalam pembelajaran ilmu Islam, dengan ilmu diwarisi melalui hubungan guru dan murid berlandaskan disiplin serta amanah keilmuan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam, Kemajuan Wilayah dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Penutupan Program Majlis Bacaan dan Isnad Kitab Muwatta’ Imam Malik di Masjid Jamek Negeri Sarawak, malam tadi.

Majlis penutupan itu turut menyaksikan ucapan aluan Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof yang disiarkan menerusi tayangan video dari Kuala Lumpur.

Kitab Al-Muwatta’ yang dikarang Imam Malik bin Anas menghimpunkan hadis Rasulullah SAW, athar para sahabat serta pandangan para tabi’in dan menjadi antara karya utama dalam tradisi keilmuan Islam.

Kerajaan Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof atas inisiatif menganjurkan program berteraskan sanad dan talaqqi, selain mendoakan kesihatan serta pemulihan beliau.

“Kita mahu pembangunan Sarawak turut disokong masyarakat yang memiliki kekuatan ilmu, nilai, akhlak dan jati diri, supaya kemajuan material bergerak seiring pembangunan rohani,” tambahnya.

Dalam pada itu, penghargaan turut disampaikan kepada Sheikh Muhammad Abul Huda al-Yaqoubi serta delegasi ulama yang hadir ke Sarawak untuk berkongsi ilmu dan menghubungkan masyarakat negeri ini dengan tradisi keilmuan Islam yang lebih luas.

“Kerajaan Sarawak akan terus menyokong majlis ilmu berteraskan talaqqi, musyafahah dan sanad di masjid, surau, institusi pendidikan serta komuniti bagi memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat, khususnya golongan muda,” kata Premier.

Abang Johari turut berharap program berkenaan melahirkan lebih ramai pencinta ilmu, asatizah, ulama dan cendekiawan Islam dari Sarawak yang mampu menyumbang di peringkat nasional dan antarabangsa.