KUCHING: Mengusahakan batik tempatan yang bermula dari rumah secara kecil-kecilan sehingga membuahkan hasil memberangsangkan mendorong pengusaha
Sandora Craft Collection mengembangkan perniagaan.
Bermula dari situ, pengusaha serta pemiliknya, Titek Sandora Apit menanamkan impian untuk meluaskan perusahaan batik dan barangan kraf tempatan.
Menurutnya, Sandora Craft Collection menghasilkan serta membekalkan pelbagai produk kraf tempatan yang sesuai untuk kegunaan harian, hiasan dan cenderamata.
Jika sebelum ini dia menjadikan rumah sebagai tempat persinggahan berniaga, kini Sandora Craft Collection menyewa sebuah premis yang terletak di F8, Plaza Astana, Tingkat 1, Arked MARA, Jalan Astana, di sini.
Menurut Sandora, perusahaan berkenaan menawarkan produk pada harga serendah RM2 hingga lebih RM800, bergantung kepada jenis dan reka bentuk barangan.
Antaranya, Batik Canting Dan batik Alternative (Linut) sering mendapat tempahan daripada pelanggan kerana hasil sentuhan Sandora yang sangat halus dan menarik.
Produk-produk lain ialah sapu tangan, tas tangan, baju batik lelaki dan wanita dan macam-macam lagi.
Menurutnya, perusahaan itu menerima bimbingan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Sarawak) dalam usaha meningkatkan kualiti produk serta mengembangkan perniagaan.
Selain itu, Sandora Craft Collection turut menerima sokongan dan bantuan daripada beberapa agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sarawak Craft Council, TEKUN Nasional dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Menurutnya, sokongan daripada agensi berkaitan banyak membantu dalam memperkukuhkan perusahaan, khususnya aspek pembangunan produk, pemasaran dan pengembangan perniagaan.
Sandora Craft Collection turut mempunyai pengalaman menyertai pelbagai pertandingan dan anugerah berkaitan industri kraf.
Antaranya ialah Pertandingan Batik Sri Endon 2006 bagi kategori Kelengkapan Hiasan Rumah serta Anugerah Pelancongan Hornbill Sarawak 2013/2014 yang menyaksikan perusahaan itu menerima pengiktirafan Premis Kraf tangan Industri Desa Cemerlang.
Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen Sandora Craft Collection dalam memartabatkan seni batik dan kraf tempatan, selain membantu memperkenalkan hasil kraf tangan Sarawak kepada masyarakat serta pengunjung dari luar negeri.
