Hari Malaysia perkukuhkan nilai, kematangan rakyat

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengajak rakyat supaya menjadikan Hari Malaysia bukan sekadar sambutan tahunan tetapi sebagai titik pembaharuan azam untuk membina negara lebih adil, progresif dan berperikemanusiaan.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia 2026, beliau berkata, hari penuh makna ini bukan sekadar memperingati pembukaan sebuah negara.

Malah katanya, menjadi ruang untuk rakyat menilai sejauh mana berjaya membina sebuah masyarakat matang, berwibawa dan berjiwa besar dalam mendepani cabaran zaman.

Tun Pehin Sri menegaskan, Hari Malaysia sewajarnya menjadi medan mubasabah nasional.

“Kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonomi atau pembangunan fizikal, tetapi bergantung kepada keutuhan nilai, kematangan rakyat serta kebijaksanaan mengurus kepelbagaian yang dimiliki.

“Hari Malaysia juga mengingatkan kita bahawa kemajuan sebenar ialah apabila tiada sesiapa tercicir daripada arus pembangunan.

“Golongan warga emas, orang kelainan upaya, masyarakat luar bandar dan komuniti yang mudah terjejas hendaklah terus diberi perhatian agar mereka turut menikmati hasil kemakmuran negara,” tegas beliau.

Tun Dr Wan berkata, pembangunan luar bandar antara fokus kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Ia merupakan salah satu bukti paling nyata dalam amalan inklusif.

“Ini kerana Kerajaan Sarawak menyedari jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar perlu dirapatkan,” katanya.

Misalnya, melalui penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), katanya, peruntukan kewangan disalurkan secara khusus untuk membina infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di pedalaman.

Beliau berkata, langkah ini memastikan masyarakat
peribumi serta penduduk kampung dan rumah panjang turut merasai arus pemodenan.