Kerajaan Sarawak bantu pembelajaran anak mendiang Joanna Felicia Rohna

SERIAN: Kerajaan Sarawak akan menanggung pendidikan dua anak mendiang Joanna Felicia Rohna hingga ke peringkat tertinggi.

Allesia Felice Haslie dan Hovannes Haslie masing-masing berusia empat dan satu tahun.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka akan didaftarkan di dalam data Yayasan Sarawak.

“Setelah nama didaftarkan, anak-anak mendiang akan melanjutkan pelajaran tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di rumah suami mendiang dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak di Kampung Engkeroh Tebakang, di sini, hari ini.

Mendiang Joanna terkorban dalam nahas insiden dua helikopter yang bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak Selasa lalu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman.