KUCHING: Bank UOB Malaysia telah menyediakan pembiayaan berjumlah hampir RM6 bilion bagi membantu syarikat yang berpangkalan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata, sejak tiga tahun kebelakangan ini dengan lebih separuh daripada jumlah yang disediakan ini untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Kami akan terus membantu PKS di Sarawak bersiap sedia menghadapi masa hadapan melalui amalan hijau, sekali gus meningkatkan daya saing dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau juga telah melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Ng Wei berkata, pihaknya percaya kepakaran UOB Malaysia dalam bidang kemampanan dapat memainkan peranan teguh dan relevan membina keupayaan bagi pembangunan mampan Sarawak.
“Pelanggan kami terlibat dalam semua sektor utama ekonomi Sarawak, termasuk pengangkutan, pembinaan dan infrastruktur, tenaga dan kimia, utiliti, perindustrian dan pembuatan, perladangan, hartanah, hospitaliti dan barangan pengguna,” katanya.
Selain kemampanan, katanya pelanggan mereka juga dapat mengambil kesempatan daripada rangkaian kukuh UOB di seluruh Malaysia, dan rantau ASEAN untuk memanfaatkan peluang di luar Sarawak.