Pendayung antarabangsa sertai Regata Perahu Naga Sarawak 2026

KUCHING: Seramai 2,450 pendayung antarabangsa menyertai Festival Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026 yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching, hari ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan tahun ini menerima penyertaan dari 22 negara.

“Penyertaan antarabangsa yang ramai menjadikan Regata Sarawak antara acara yang dinanti-nantikan pengunjung, khususnya warga Kuching dan pelancong dari luar,” katanya ketika ditemui media pada Perasmian Regata Sarawak, Festival Tepian Sungai 2026, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah serta isteri Paridah Ibrahim.

Beliau berkata, kehadiran peserta antarabangsa menyebabkan hotel di sekitar bandar raya ini dipenuhi pengunjung.

Festival berkenaan turut berlangsung serentak dengan Festival Kraf Borneo, Pentas Kesenian, Festival Gendang Melayu dan Pameran Usahawan Sarawak.

Abdul Karim berkata, penganjuran beberapa acara secara serentak menyumbang kepada suasana meriah di Tebingan Sungai Kuching.

Beliau berkata, acara tahunan itu terus menjadi antara tarikan yang dinantikan penduduk tempatan dan pengunjung luar. — AYLA MEDINA/JIWA BAKTI