Penempatan tukun tiruan berpotensi diperluas rancakkan pelancongan

SEMATAN: Penempatan tukun tiruan berpotensi diperluas ke lebih banyak lokasi bersesuaian di Sarawak bagi merancakkan sektor pelancongan pesisir pantai, khususnya menerusi aktiviti memancing sukan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif yang dilaksanakan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu dapat membantu menyediakan habitat sesuai untuk ikan, sekali gus menjadikan aktiviti memancing sukan sebagai tarikan pelancongan tambahan.

Menurutnya, penempatan tukun tiruan dilaksanakan di beberapa kawasan, termasuk Balingian, Mukah dan Batang Lupar di Sri Aman.

Ini boleh menjadi rujukan bagi mengenal pasti lokasi lain yang berpotensi, katanya.

“Saya melihat lebih banyak tukun tiruan dilabuhkan di Balingian dan Mukah serta di kawasan Batang Lupar di Sri Aman.

“Sekiranya kita dapat mengenal pasti lokasi yang sesuai dan mengusahakannya, saya yakin memancing sukan boleh menjadi aset kepada sektor pelancongan,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta Larian Rimbun Sematan Antarabangsa 2026 di Pantai Abang Amin, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, usaha melindungi terumbu karang di sekitar Pulau Talang-Talang juga penting bagi memelihara tarikan semula jadi kawasan berkenaan, sekali gus menyokong potensi pelancongan pesisir pantai.

Beliau turut berpandangan bahawa peningkatan kesalinghubungan udara, termasuk penerbangan ke Jakarta, berpotensi menarik lebih ramai pelancong serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.