SIBU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM38 juta bagi menaik taraf keseluruhan kawasan Taman Rimba Bukit Lima Sibu, dengan kerja pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, peruntukan yang diluluskan pada Oktober tahun ini bertujuan menambah baik kemudahan dan infrastruktur di kawasan rekreasi berkenaan.
“Projek naik taraf itu turut melibatkan penyambungan laluan sedia ada ke zon utara dan selatan serta pembinaan laluan sekunder yang akan menjadikan keseluruhan trek melebihi lapan kilometer (km),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan peserta Kemunyang Nature Challenge 2026 di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu menyambut baik penganjuran Kemunyang Nature Challenge 2026 yang berjaya menarik penyertaan seramai 350 peserta dalam dua kategori larian, iaitu lima kilometer dan lapan kilometer.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atas inisiatif menganjurkan program yang menggabungkan aktiviti kecergasan fizikal dengan keindahan alam semula jadi,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya Kemunyang Nature Challenge dijadikan acara tahunan dengan skala penganjuran yang lebih besar pada masa hadapan.
“Jika tahun ini kita mempunyai 350 peserta, tidak mustahil jumlah penyertaan dapat ditingkatkan sehingga 3,000 peserta pada masa hadapan,” katanya lagi.
