Wanita Parti PBB Zon Miri perkukuh keupayaan penyampaian maklumat

MIRI: Keupayaan jentera Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar dan inisiatif Kerajaan Sarawak antara tumpuan Program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Zon Miri.

Program yang berlangsung di Hotel Dynasty, di sini, hari ini menghimpunkan ahli wanita parti daripada enam cawangan, iaitu Lambir, Piasau, Pujut, Senadin, Marudi dan Telang Usan.

Program itu bagi meningkatkan kefahaman terhadap perkembangan politik semasa serta memperkukuh peranan mereka di peringkat akar umbi.

Antara pengisian utama ialah sesi bertajuk PRN-13 Do’s & Don’ts yang disampaikan Setiausaha Pergerakan Wanita Parti PBB, Dato Susan Chemerai Anding dengan memberikan tumpuan kepada persediaan menghadapi pilihan raya negeri.

Sesi kedua bertajuk Senario Politik & Inisiatif Premier Sarawak pula disampaikan Bendahari Pergerakan Wanita merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim.

Ia bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta mengenai perkembangan politik dan inisiatif kerajaan.

Majlis perasmian dan penangguhan program turut menampilkan ucapan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau; Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat.

Program turut diserikan dengan persembahan koir Wanita PBB daripada enam cawangan berkenaan yang menyampaikan Lagu March PBB, Lagu Ikrar Wanita PBB dan Lagu GPS sebelum diteruskan dengan jamuan makan tengah hari.