Cadangan kaji semula Ordinan Barangan Terpakai

SAMARAHAN: Kerajaan Persekutuan digesa mengkaji semula Ordinan Barangan Terpakai bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap kegiatan pembelian barangan curi yang menyumbang kepada vandalisme kemudahan utiliti dan telekomunikasi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, hukuman sedia ada perlu dinilai semula bagi membendung kegiatan kecurian kabel dan peralatan utiliti yang menjejaskan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Ordinan barangan terpakai ini di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Harapan kita agar ia dapat dikaji semula supaya penalti lebih berat dapat dipertimbangkan bagi membanteras vandalisme dan kecurian pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pencegahan Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat kes pembelian barangan yang didakwa sebagai besi buruk sedangkan barangan berkenaan sebenarnya peralatan baharu yang dicuri daripada kemudahan utiliti.

Menurutnya, kegiatan itu turut melibatkan kabel tembaga untuk menara telekomunikasi di Bintulu yang dipotong sebelum sempat dipasang dan digunakan.

“Barang yang dijual kononnya sebagai barangan terpakai tetapi sebenarnya barang baharu.

“Sebab itu, kita berharap undang-undang berkaitan dapat dikaji semula supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan,” tambahnya.

Julaihi berkata, sebanyak 6,328 kes vandalisme dan kecurian kemudahan utiliti direkodkan di Sarawak dari 2023 hingga suku kedua 2026 dengan kerugian kerosakan harta mencecah RM48.43 juta.

Beliau berkata, jumlah itu belum termasuk kos membaik pulih dan menggantikan peralatan yang rosak selain gangguan bekalan elektrik, air dan internet yang menjejaskan kehidupan harian masyarakat.

Di Samarahan, sebanyak 308 kes vandalisme dan kecurian infrastruktur utiliti serta telekomunikasi direkodkan bagi tempoh sama melibatkan kerugian RM1.54 juta.

Justeru, beliau menggesa masyarakat supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan segera melaporkan aktiviti mencurigakan bagi mengurangkan kes kecurian serta memastikan kemudahan utiliti terus berfungsi dengan baik. — AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI