Sarawak perluas estet perindustrian ke bahagian, daerah

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperluaskan pembangunan estet perindustrian ke peringkat bahagian dan daerah tertentu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah tersebut bagi membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Tambahnya, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha memperkukuhkan ekosistem perniagaan menerusi Belanjawan Sarawak 2027 yang berjumlah RM14.845 bilion.

Menurutnya, pembangunan estet perindustrian tidak hanya tertumpu kepada pelabur besar termasuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), malah turut memberi ruang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.

“Kita juga akan melaksanakan estet industri di bahagian dan daerah tertentu di Sarawak.

“Ini untuk memberi peluang supaya syarikat kecil dan sederhana kita mempunyai tempat untuk berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian Program Rangkaian Usahawan Negeri Sarawak 2026, di Hotel Sheraton, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut menyambut baik peningkatan dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) daripada RM350 juta kepada RM500 juta menerusi Belanjawan Persekutuan 2027.

Menurutnya, sehingga September 2026, PUNB telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM121.2 juta kepada Sarawak yang memberi manfaat kepada kira-kira 354 syarikat tempatan.

Justeru, beliau berharap peningkatan peruntukan tersebut membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera di Sarawak memperoleh akses pembiayaan bagi meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan.

Pada masa sama,ujarnya, Kerajaan Sarawak turut memperkukuhkan penyelarasan bantuan keusahawanan menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sarawak yang melibatkan pelbagai agensi termasuk PUNB.

“Langkah itu bertujuan mengelakkan pertindihan program.

“Ini juga memastikan segala sumber dan peruntukan dimanfaatkan secara optimum untuk membantu PMKS berkembang dan menyertai rantaian bekalan industri,”katanya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI