KUCHING: Projek Pembangunan Semula Darul Hana menerima pengiktirafan Anugerah Tindakan Kelestarian Asia Pasifik (APSAA) 2026 di Taipei, Taiwan menerusi kategori Keterangkuman Sosial.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan itu membuktikan pendekatan pembangunan Sarawak yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan keterangkuman sosial mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pembangunan fizikal perlu dilaksanakan seiring dengan pengurusan penempatan semula, libat urus penduduk dan usaha memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Perasmian Karnival Darul Hana 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan semula kawasan seluas kira-kira 722 hektar di sepanjang Sungai Sarawak itu mengambil kira sejarah penempatan, hubungan kekeluargaan dan keperluan penduduk asal.
Setakat ini, sebanyak 564 unit rumah telah dibina bagi memenuhi keperluan ketua isi rumah yang terlibat dalam program penempatan semula selain 209 unit rumah di Sungai Bedaun untuk keluarga tambahan.
Sebanyak 94 unit rumah tambahan turut dibangunkan secara berfasa bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk yang terlibat dalam projek berkenaan.
“Matlamat pembangunan Darul Hana bukan sekadar mengubah wajah fizikal kawasan ini tetapi menyediakan perumahan yang lebih selamat, kemudahan asas yang lebih baik dan persekitaran yang selesa,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan kawasan berkenaan perlu disertai peluang ekonomi menerusi program keusahawanan, latihan kemahiran dan ekonomi digital, khususnya untuk golongan belia dan wanita.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara sejarah masyarakat Seberang Hilir menerusi pameran warisan kampung serta dokumentasi artifak, adat resam dan kehidupan masyarakat terdahulu untuk generasi akan datang.
Karnival Darul Hana 2026 dianjurkan sempena ulang tahun ke-10 Masjid Darul Hana dan ke-45 Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA). – ALYA MEDINA/ JIWA BAKTI
