Sarawak cadang guna teknologi solar bangunkan industri makanan

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal membuka pejabat di Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membangunkan industri minyak dan gas di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat berkenaan akan diuruskan oleh syarikat Sarawak Energy dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

“Ia bagi melancar dan mempercepatkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

“Kerjasama ini turut melibatkan Syarikat Pelaburan Mubadala di Dubai, mereka juga akan bekerjasama dengan PETROS dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta Petronas bagi membangunkan industri minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Sementara itu kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak mensasarkan l menggunakan teknologi hijau bagi memacu keselamatan makanan negeri ini.
 
Pendekatan ini katanya, telah dilaksanakan oleh pembekal tenaga bersih milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar).
 
“Masdar bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui, terutamanya berkaitan solar terapung. 
 
“Kerana panel solar sekarang ini bukan sahaja terapung, tapi boleh juga dibuat solar di atas tanah.
 
“Di bawah panel solar boleh kita membangunkan industri makanan. Pendekatan ini ada dua kegunaan dan saya nampak Masdar sangat berminat kerana mereka sudah melaksanakan pendekatan ini di kawasan Sharjah, UAE,” katanya.