Pemuda, Belia Parti PBB berhimpun di Lawas

LAWAS: Program Jelajah turun padang Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 28 Jun hingga 30 Jun di sini akan menghimpunkan ahli-ahli Pemuda Parti PBB dengan ahli-ahli sayap Belia PBB di seluruh Sarawak.

Setiausaha Pergerakan Sayap Belia PBB, Kaunselor Suffian Mohat bersama exco Pergerakan Pemuda, Steve Lius dan Aron Paulus menghadiri mesyuarat persiapan program berkenaan di Pejabat Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Bukit Sari hari ini.

Suffian berharap semua jawatankuasa yang dilantik membuat persiapan rapi dan bekerjasama antara Pergerakan Pemuda Parti PBB Batu Danau, Bukit Kota, Bukit Sari dan Ba’kelakan.

Program Jelajah Pergerakan Pemuda itu bakal menjemput Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk bertemu muka dengan belia dan pemuda bagi mendengar sendiri hala tuju dan perjuangan parti.

Steve Lius yang ditemui memberitahu berbagai acara telah diatur khususnya acara sukan dan juga sesi ‘townhall’ bersama Datuk Amar Awang Tengah.

“Kita harap belia dan pemuda di Lawas tidak melepaskan peluang bersua muka dengan Datuk Amar Awang Tengah dan bertanya soalan dalam memahami aspirasi perjuangan parti,” katanya.

Turut hadir memeriahkan Program Armada Pemuda Parti PBB itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Miro Simuh bersama barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda Parti PBB yang lain.