KUCHING: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) telah melahirkan hampir 4,000 graduan sejak bermula 2013 dan mencatatkan kebolehpasaran graduan melepasi 95 peratus setiap tahun.
Naib Canselor UTS, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid berkata, graduan terbabit bukan sahaja diambil bekerja oleh agensi dan industri tempatan tetapi juga bekerja di luar Sarawak.
“Ini menunjukkan mutu dan kualiti graduan UTS adalah setanding dengan universiti ternama ,”katanya.
Beliau berkata demikian setelah rombongan UTS mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, di sini.
Rombongan diketuai Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan, Bakat Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Dr. Annuar Rapa’ee untuk menyerah watikah pelantikan Tun sebagai Canselor universiti itu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 Jun 2024.
Sementara itu, Dr. Annuar Rapa’ee berkata, Kampus Laila Taib UTS yang baharu di Mukah akan mula menerima kemasukan pelajar pertamanya tahun ini dengan menumpukan kepada jurusan maritim.
GAMBAR: LANCE DUNSTAN (BKVS)
