Bina Sarawak berintegriti tinggi

BINTULU: Seiring sasaran mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, Sarawak konsisten dengan matlamat mahu menjadikan negeri ini maju berintegriti tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Dr Juanda Jaya berkata, pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu mampu dicapai mengikut landasan tepat.

Antaranya mewujudkan Unit Integriti dan Ombudsman bagi membudayakan integriti, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus kerajaan serta penyampaian perkhidmatan dalam kalangan penjawat awam, katanya pada majlis Amanat Integriti Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Auditorium Wisma Bintulu, di sini.

Juanda berkata, penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), yang diberi kuasa tertentu untuk memastikan Sarawak terus maju ke hadapan dan meletakkan integriti sebagai antara perkara yang paling diutamakan.

“Salah satu fungsi utama UNIONS adalah pengurusan aduan ombudsman. Peranan ini untuk menerima pelbagai aduan dan cadangan daripada orang awam (individu) berkaitan perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan,” tegas beliau.

Menurutnya, semua aduan diteliti dan disiasat berdasarkan amalan International Ombudsman iaitu kebebasan, berkecuali, kesaksamaan, kerahsiaan dan informal.