Kontinjen Sarawak buru juara Para SUKMA Ke-21

KUCHING: Kontinjen Sarawak memburu gelaran juara sekali gus mengalahkan kontinjen Sabah pada Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Ke-21 Sarawak di sini pada 22 hingga 28 September ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini bagi menebus kekalahan kontinjen Sarawak kepada kontinjen Sabah dalam Para SUKMA Ke-20 Kuala Lumpur 2022.

“Pada masa itu, Sabah mengutip 54 pingat emas, Sarawak mengutip 50 pingat emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Countdown 100 Days To Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.

Fatimah berkata, sebagai persediaan, Jelajah Talent Identification Para SUKMA Ke-21 Sarawak 2024 telah diadakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di Kuching, Sibu, Miri dan Sri Aman.

“Seramai 85 atlet para baharu dikenal pasti dan akan turut bertanding pada Para SUKMA Ke-21 Sarawak 2024,” tambahnya.

Menurutnya, atlet Para SUKMA Sarawak juga diberikan latihan dan pendedahan peringkat antarabangsa antaranya Para Olahraga di Xiamen & Fuzhou, China manakala Para Renang (Hatyai, Thailand), Para Badminton(Solo, Indonesia)
Para Ping Pong(Bangkok, Thailand) Para 10 Pin Bowling (Phnom Penh, Cambodia), Boccia (Taipei, Taiwan) Para Lawn Bowls (Johannesburg, South Africa) dan Para Powerlifting (Pattaya, Thailand).

Katanya, latihan kendiri diadakan atlet terbabit di tempat masing-masing bersama pegawai dilantik sejak Januari hingga Jun ini manakala sesi latihan intensif mereka akan diadakan di sini dari Julai hingga September ini.

Selain itu, beliau mendedahkan seramai 1,528 atlet, 49 atlet sokongan, 788 pegawai dan 75 urusetia kontinjen dari 15 negeri dan Wilayah Persekutuan akan menyertai Para SUKMA ke-21 Sarawak.

“Sebanyak 334 acara bagi 10 sukan Para SUKMA akan dipertandingkan pada kali ini dan kesemua 10 sukan Para SUKMA yang dipertanding akan diadakan di Kuching,” tambahnya.