Pulihara warisan, budaya masyarakat Iban – Uggah

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mencadangkan supaya Kubu Lily di Simanggang dan Kubu Slyvia, Kapit dijadikan sebagai galeri menyimpan khazanah warisan budaya masyarakat Iban di negeri ini.

Beliau berkata, menyimpan khazanah warisan budaya itu penting untuk mengelak seni unik menenum pua kumbu, menganyam tikar dan tatu masyarakat Iban hilang ditelan zaman.

“Masyarakat Dayak juga perlu memeliharanya seiring dengan kepentingan komersial,” katanya pada Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban 2024 di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmkan simposium dan ekspo dua hari itu yang dianjurkan oleh Yayasan Kebudayaan Dayak Sarawak.

Uggah menegaskan, usaha memelihara warisan budaya dengan kepentingan komersial dewasa ini berhadapan dengan banyak cabaran disebabkan kekurangan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memelihara warisan itu.

Justeru, katanya, generasi muda harus menggunakan teknologi moden dalam memperkenal wairsan budaya untuk kemampanan keunikan warisan budaya itu.

Ia juga untuk mengekal kekayaan warisan budaya dan menjadi sebahagian daripada cara hidup generasi hari ini dan akan datang, tegas beliau dan menambah, generasi muda diperlukan untuk menjadi pembimbing legasi budaya terbabit.

Uggah turut menggesa masyarakat Iban supaya mengimbangi kepentingan menghasil dan menjual produk bercirikan budaya dengan kepentingan komersial.