Pertahan semangat setia kawan

SEBAUH: Perpaduan dan semangat setia kawan antara kaum yang terjalin sejak sekian lama perlu dipertahankan meskipun berbeza dari segi bangsa dan agama.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, semangat setia kawan utuh itu merupakan satu keunikan bagi negeri Sarawak yang berbilang kaum.

“Malah ia menjadi teladan kepada orang luar,” katanya merasmikan Pesta Sebauh dan Perarakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di padang bola sepak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Sebauh di sini.

Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, keakraban dan ukhuwah yang dipupuk sejak dahulu menjadikan masyarakat hidup dalam harmoni.

“Sarawak boleh melakukan sesuatu secara semula jadi dan ini bukan sesuatu yang senang dilihat di sesetengah negara.
“Ini semangat semulajadi dari kecil sampai sekarang,” tegas beliau.

Justeru, beliau menggesa supaya jangan biarkan musuh menjadi penghalang bagi masyarakat bergaul, katanya.

Beliau berharap kehormanian dikecapi sekarang akan berterusan dan dipupuk agar berkekalan demi masa depan generasi akan datang.

Sebanyak 26 kontijen membabitkan 800 peserta menyertai pertandingan Perarakan JKKK sempena Pesta Sebauh 2024 yang berlangsung dari 21 hingga 30 Jun ini.