Bangunan tambahan Hospital Miri siap lebih awal

MIRI: Pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri di sini merupakan satu daripada manifestasi kerajaan menyalurkan kembali hasil dari penjimatan ketirisan, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, penjimatan dari ketirisan melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan seperti rasional subsidi disalurkan kembali kepada rakyat.

“Inisiatif penambahbaikan itu berupa projek berpaksikan rakyat seperti sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan awam,” katanya pada majlis penyerahan projek siap pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni.

Projek bernilai RM289.2 juta itu terletak di kawasan seluas 14.53 ekar dan direkabentuk dengan kapasiti 328 katil yang menyediakan kepakaran dan fasiliti seperti wad kelas pertama, wad wanita, wad lelaki, wad kanak-kanak, wad obstetrik, dewan bedah utama, dewan bedah bersalin, unit rawatan rapi, unit kecemasan, bahagian pengimejan dan klnik doktor pakar.

Dengan adanya bangunan tambahan itu, Hospital Miri berkebolehan untuk berfungsi sebagai sebuah pusat perkhidmatan kesihatan setanding dengan pusat kesihatan yang lain sejajar dengan pembangunan di Miri, katanya.

Menurut Alexander lagi, selain daripada itu, projek itu juga telah memperoleh beberapa pencapaian seperti sifar kemalangan, penyempurnaan Perakuan Siap Kerja (CPC) pada April 2024 dan Penarafan 3 Bintang MyCREST atau Alat Pengekalan Karbon dan Pengekalan Alam Sekitar Malaysia dari CIDB.

Beliau berharap sumbangan Kementeria Kerja Raya (KKR) dalam pembinaan bangunan tambahan ini dapat menjadi katalis atau pemangkin untuk Hospital Miri mengorak langkah menjadi salah satu Pusat Perubatan yang terulung di Sarawak.

Alexander turut mengucapkan syabas kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Pihak HOPT dan HODT JKR Malaysia, Riaplus Sdn Bhd sebagai kontraktor utama dan pasukan perunding projek kerana telah berjaya menyiapkan projek itu awal daripada jadual dengan hasil kerja yang berkualiti.

GAMBAR: Alexander Nanta Linggi