BINTULU: Rancangan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membangunkan 7,000 unit rumah mampu milik di sini bagi menampung keperluan masyarakat dan menyusun semula perkampungan orang Melayu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, selain itu dengan adanya rancangan pembangunan perumahan itu ia dapat menampung keperluan masyarakat Bintulu memiliki rumah yang lebih selesa pada harga berpatutan.
“Rancangan membangunkan rumah mampu milik itu sejajar dengan usaha membangunkan Jepak Jaya,” katanya selepas lawatan dan sesi taklimat di tapak Projek Rumah Contoh Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Jelutong, Jepak di sini.
Menurut Abang Johari, membangunkan rumah untuk keselesaan rakyat merupakan komponen penting.
Projek Rumah Contoh Skim Pembesaran Kampung itu mempunyai dua rumah contoh.
“Dengan adanya perancangan kita menyediakan 6,000 unit termasuk projek ini, lebih kurang 7,000 unit, ia dapat menampung keperluan masyarakat di sini memiliki rumah yang lebih selesa pada harga berpatutan,” tegas beliau.
Abang Johari berkata, untuk fasa pertama, sebanyak 98 unit kini dalam pembinaan dan baki lebih 3,000 unit akan dibina secara berperingkat dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran sekarang.
Dengan adanya insfrastruktur itu, beliau berkata, kerajaan dapat membangunkan kawasan tersebut seperti rumah yang lebih tersusun untuk penduduk kampung yang semakin padat.
Ketika ditanya mengenai isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan tersebut, beliau menepis tohmahan itu dengan memaklumkan bahawa segala yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang.
“Ia tertakluk kepada NCR. Biasanya kita bayar kalau tuntutan mereka sah. Kalau mereka datang, kita akan membuat semakan untuk mengesahkan tuntutan mereka.
“Kita ada undang-undang. Kalau anda pemilik tanah itu, kerajaan mesti bayar,” ujarnya.
GAMBAR: JABATAN PREMIER