Pelantikan Awang Bemee bermakna buat Sarawak – TYT

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan tahniah kepada Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah yang dilantik sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara baharu.

Beliau menzahirkan rasa gembira kerana Perdana Menteri telah memilih pemimpin dari Sarawak sekali lagi untuk dicalonkan dan dipersetujui oleh Ahli-ahli Dewan Negara menjadi Yang Di-Pertua Dewan Negara Ke-21.

Pelantikan Datuk Awang Bemee sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara Ke-21 memberi makna kerana serentak dengan tarikh Sarawak mencapai status pemerintahan sendiri selama 61 tahun iaitu pada 22 Julai 1963 sebelum tarikh pembentukan Malaysia 16 September 1963, katanya dalam kenyataan di sini.

Sebagai bekas Yang Di-Pertua Dewan Negara, beliau berharap Datuk Awang Bemee akan terus membantu usaha Kerajaan Persekutuan meneruskan reformasi Parlimen dan meningkatkan pentadbiran periksa dan berimbang yang beliau terapkan sebelum meletakkan jawatan pada 19 Januari 2024.

GAMBAR:JAPEN