SAMARAHAN: Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diingatkan untuk memanfaatkan transformasi digital dan teknologi dalam pembelajaran.
Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hatta Rasit berkata, ini kerana di era digital ini, teknologi tidak lagi hanya satu kemudahan, tetapi satu keperluan.
“Penggunaan teknologi telah mengubah cara kita belajar dan berinteraksi, membuka pintu kepada sumber ilmu yang tidak terbatas dan membolehkan kita untuk terlibat dalam proses pembelajaran secara lebih efektif dan berkesan,”katanya
Beliau berkata demikian di Majlis Ikrar Pelajar Baharu Pusat Pengajian Pra Universiti (PPPU) Bagi Sesi 2024/2025 yang dihadiri isteri Yang di Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, di Kampus UNIMAS, di sini, hari ini.
Ahmad Hatta berkata, bahkan juga, digitalisasi pengajaran dan pembelajaran perlu direalisasikan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi kekal relevan sejajar dengan perubahan semasa.
Katanya, hal ini juga sesuai sebagai persiapan mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat dan selaras komitmen UNIMAS yang bersifat universiti yang dipacu komuniti untuk dunia yang mampan.
Seramai 898 pelajar baharu Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) telah menyertai Majlis Ikrar Pelajar (MIP) dan mereka merupakan ambilan ke-15 Program Asasi Hayat dan Fizikal serta ambilan pertama bagi
Program Asasi Pengkomputeran.
GAMBAR:JAPEN
