BINTULU: Rakyat Sarawak diminta terus kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia penting agar terus membawa Sarawak ke arah kemajuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sokongan padu itu secara tidak langsung akan membolehkan Kerajaan Sarawak meningkatkan pendapatan negeri yang kemudiannya disalurkan kepada rakyat melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan Geran Projek Khas, Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Fairfield Marriot Hotel Bintulu, baru-baru ini.
Peruntukan Geran Projek Khas dan MRP berjumlah RM80,000 diserah kepada 16 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Kampung, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta beberapa persatuan lain di kawasan DUN Jepak.
Jelasnya, peruntukan itu untuk menjalankan aktiviti masing-masing serta keperluan lain.
“Bagi yang tidak berjaya mendapat geran kali ini, mereka masih boleh membuat permohonan untuk pertimbangan dan kita sedia membantu,” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee dan Pemangku Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.
