BINTULU: Kerajaan Sarawak dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan bekerjasama menangani keperluan kritikal perkhidmatan veterinar di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setelah UPM bersetuju memanfaatkan Kampus Bintulu dan kepakaran universiti dalam sains haiwan veterinar bagi mewujudkan Fakulti Perkhidmatan Veterinar dan Sains Haiwan.
Katanya, ini susulan perbincangan antara Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Inisiatif ini didorong oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyatakan kekurangan doktor haiwan dan pengambilan pelajar yang terhad untuk kursus veterinar di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Runding Cara dan Taklimat Penubuhan Fakulti Veterinar dan Sains Haiwan, UPM di Sarawak, di Hotel New World Suites di sini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, melahirkan keyakinan terhadap kerjasama itu.
Beliau juga menyatakan bahawa program akademik, termasuk Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan (DKHP), telah pun diwujudkan.
